Lelaki itu ditahan selepas ibu mangsa berusia 49 tahun membuat laporan polis pada pukul 3 petang semalam berikutan rakaman video perbuatan tidak senonoh lelaki tersebut tersebar dalam media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hasan berkata, suspek ditahan di Lebuh Raya Gopeng, Perak semasa dalam perjalanan ke Padang Besar, Perlis untuk menghantar barang menggunakan sebuah lori pada pukul 9.20 malam tadi.

“Siasatan mendapati suspek yang bekerja dengan sebuah syarikat logistik di Seri Kembangan, Selangor telah berkahwin, mempunyai seorang isteri dan dua anak lelaki serta tinggal di sebuah perumahan di bandar Seremban,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Satu rakaman video seorang lelaki dewasa melakukan kelucahan melampau ke atas seorang kanak-kanak perempuan di dalam sebuah kereta tular dalam media sosial sejak semalam.

Polis menerima sebanyak 17 laporan dibuat oleh orang ramai yang marah dengan perbuatan lelaki dalam rakaman video tersebut.

Wan Rukman berkata, siasatan awal polis mendapati suspek mengenali mangsa sejak beberapa bulan lalu kerana mereka tinggal di kawasan perumahan berhampiran dan suspek kerap singgah di kedai milik ibu suspek.

Menurut beliau, suspek dipercayai telah melakukan perbuatan itu ke atas mangsa sebanyak tiga kali pada bulan lalu dengan datang ke rumah mangsa sewaktu dia tinggal berseorangan dan mengajaknya keluar.

“Dalam kejadian terbaharu mangsa dibawa ke kawasan parkir kereta di bandar Seremban dan suspek melakukan kelucahan melampau terhadapnya di dalam sebuah kereta jenis Proton Waja,” katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan reman selama enam hari sehingga 15 Julai ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14(a) dan Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Ujarnya, polis turut merampas kereta milik suspek dan dua telefon bimbitnya yang dipercayai digunakan untuk merakam kejadian itu.

“Mangsa kini ditempatkan di hospital di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pemeriksaan pihak hospital mengesahkan tiada kesan rogol terhadap mangsa,” katanya. -UTUSAN ONLINE