Dalam kejadian itu, mangsa lelaki berusia 31 tahun berkenaan ditawarkan pelaburan itu oleh penumpang yang diambilnya di sebuah pusat beli-belah di sini yang mendakwa kononnya pekerja di ibu pejabat Maxis KLCC.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, mangsa kemudiannya menghubungi nombor telefon yang diberikan suspek sebelum diminta membuat pembayaran melalui akaun yang diberikan.

"Mangsa yang teruja dengan tawaran itu menempah sebanyak lapan buah telefon bimbit iPhone7 Plus dan membayar sebanyak RM3,600 melalui tiga transaksi.

"Dia juga berasa teruja selepas suspek meyakinkannya untuk menuntut telefon bimbit itu di cawangan syarikat telekomunikasi tersebut yang berhampiran," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurut Noorzainy, mangsa berasa tertipu selepas suspek berterusan meminta dia memindahkan wang kepada ejen berkenaan sebelum tampil membuat laporan polis.

Katanya, polis kini sedang menyiasat maklumat akaun yang digunakan suspek mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE