Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa dari Kubang Semang, Bukit Mertajam di sini dikatakan tertarik dengan iklan pelaburan yang diterima daripada individu tidak dikenali menerusi WhatsApp pada 4 Jun lalu yang menjanjikan keuntungan dalam kadar segera.

“Mangsa yang berusia 20 tahun kemudiannya berminat dengan tawaran ini tanpa menyedari bahawa dirinya sudah diperangkap sindiket berkenaan.

“Mangsa kemudian bersetuju membuat pelaburan sebanyak RM500 sahaja tetapi telah dipengaruhi untuk menambah nilai pelaburan sehingga mencecah RM18,983 di mana mangsa

dijanjikan akan mendapat pulangan tersebut dalam masa seminggu bersama modal pelaburan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau mangsa kemudiannya telah membuat 10 transaksi pindahan deposit tunai di bank kawasan Butterworth dan Mak Mandin.

“Mangsa telah memindahkan RM 18,983 ke dalam satu akaun bank tempatan namun dia masih diminta untuk membuat tambahan bayaran lagi.

“Mangsa tidak bersetuju dan berasa tertipu dengan ejen tersebut setelah pelbagai alasan diberi apabila bertanyakan hal pulangan pelaburan,” katanya.

Tambahnya, mangsa akhirnya membuat laporan polis semalam bagi meminta siasatan dijalankan.

“Siasatan mendapati wang yang dimasukkan ke dalam akaun suspek itu dipinjam dari bapanya yang mendapat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE