Mayat, S. Sritharan, 16, yang dibalut plastik itu ditemukan sendiri oleh bapanya pada pukul 12.18 tengah hari di belakang rumah kosong yang terletak bersebelahan rumah mereka.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, laporan kehilangan remaja itu sebelum ini telah dibuat kakaknya semalam selepas mangsa tidak pulang dari sekolah Jumaat lalu.

“Mangsa yang merupakan pelajar tingkatan empat itu ke sekolah pada pukul 7.30 pagi Jumaat lalu namun dia tidak pulang ke rumah sehingga pukul 11 malam hari yang sama.

“Laporan kehilangannya dibuat semalam sebelum pihak polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat dengan kesan kelar di leher dan pergelangan tangan di belakang sebuah rumah kosong di sebelah rumah mangsa hari ini,” katanya.

Menurut beliau, siasatan awal yang dilakukan telah membawa kepada penangkapan terhadap adik perempuan mangsa yang berusia 14 tahun dan teman lelakinya berusia 15 tahun.

Katanya, kedua-dua remaja itu mengaku telah membunuh mangsa.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksysn 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.-UTUSAN ONLINE