Dalam nahas kira-kira pukul 2 pagi itu, mangsa, Zulkhairilzam Zamzuri, 20, dari Kampung Masjid Padang Kubu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Haki Hasbullah berkata, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135LC bersama rakannya, Akif Irfan Mohd. Rizwan, 16, dikatakan dalam perjalanan dari Jabor menghala ke Jerangau sebelum bertembung dengan seekor kerbau yang sedang melintas jalan.

"Rakan mangsa, Akif Irfan yang turut cedera di bahagian kepala dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk menerima rawatan.

"Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati laluan lurus itu gelap dan tidak berlampu pada waktu malam manakala keadaan cuaca baik," katanya di sini hari ini.

Mohd. Haki berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE