Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, pada 24 April lalu, mangsa yang berusia 60 tahun menerima panggilan dari seorang perempuan yang memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis di Pulau Pinang.

“Mangsa dimaklumkan oleh perempuan itu bahawa dia ingin memeriksa sama ada akaun milik mangsa ada berurusan dengan seorang lelaki yang terlibat dengan kes pengubalan wang haram dan kegiatan jual beli dadah.

“Pekebun itu menafikan terlibat sama dan diminta memasukkan wang berjumlah RM72,000 untuk proses pemeriksaan semua akaunnya bagi tujuan pembuktian yang mangsa tidak terlibat dengan kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, mangsa telah memasukkan jumlah wang berkenaan ke dalam akaun bank RHB yang diberikan suspek.

“Setelah memasukkan wang itu, mangsa sedar dirinya ditipu setelah gagal berhubung semula dengan perempuan berkenaan. Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini semalam,” katanya.

Menurutnya, modus operandi suspek adalah dengan menyamar sebagai pihak berkuasa dan menyatakan mangsa mempunyai kes polis sehingga mendorongnya memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE