Bagaimanapun, Chang Kok Kheong, 60, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya selesai dibacakan di hadapan Hakim Datuk Julie Lack Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Pengarah Syarikat Energizer Properties Sdn. Bhd. itu didakwa pecah amanah dengan curangnya tidak mengembalikan wang lebihan dalam urusan pembelian sebuah rumah kedai tiga tingkat berjumlah RM150,000.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di pejabatnya di Jalan Sultan Abdul Jalil di sini antara 24 Julai 2014 hingga 11 Disember 2017.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimun 20 tahun dan sebar dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh diwakili peguam, Jagdave Singh.

Terdahulu dalam rayuan, Jagdave meminta agar jumlah jaminan ringan dikenakan ke atas anak guamnya ekoran lelaki itu telah membayar jaminan sebanyak RM35,000 bagi dua kes yang dihadapinya sebelum ini.

Hakim Datuk Julie Lack kemudiannya membenarkan lelaki itu dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 September ini untuk sebutan semula kes.

Pada 4 April lalu, Kok Kheong didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menyalahguna bayaran lebihan pinjaman rumah kedai oleh dua pembeli membabitkan kerugian RM100,000 lima tahun lalu.

Dia juga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini keesokan harinya atas tiga pertuduhan menipu melibatkan kerugian RM300,000 bagi tujuan pembayaran deposit untuk projek kondominium pelajar yang tidak wujud, tujuh tahun lalu.-UTUSAN ONLINE