Seorang kakitangan pasar raya itu menjelaskan, gambar daun ketum yang didakwa dijual di premis tersebut sebenarnya daun ketumbar.

Jelas beliau, kekeliruan itu timbul ekoran perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang merakam gambar pelekat di daun ketumbar dan menutup ejaan penuh yang tertera.

"Individu yang merakam gambar itu menutup ejaan 'bar' pada pelekat daun ketumbar menjadikan perkataan yang boleh dibaca cuma daun 'ketum'.

"Kami tidak menjual daun ketum seperti yang didakwa dan berharap orang ramai mendapat penjelasan ini," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Sebagai bukti, kakitangan pasar raya itu turut menghantar gambar daun ketumbar yang didakwa sebagai daun ketum berkenaan.

Dakwaan kononnya pasar raya itu menjual daun ketum secara terbuka tersebar melalui aplikasi WhatsApp sejak semalam.

Turut disertakan sekeping gambar didakwa daun ketum yang dijual di pasar raya tersebut pada harga RM1.36 seikat. - UTUSAN ONLINE