Motif kejadian tersebut masih belum diketahui namun suspek kes itu dikatakan bekas suami kepada wanita itu. Kedua-dua mereka dikatakan berpisah pada penghujung tahun lalu.

Kejadian pada pukul 11.20 pagi itu menyebabkan wanita tersebut cedera dibahagian tangan sebelah kiri dipercayai akibat ditetak beberapa kali.

Suami wanita itu pula cedera di bahagian jari kanan dan luka di lengan serta dada kirinya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai Deputi Superintenden Wan Fauzi Wan Ishak berkata, sebelum kejadian pasangan suami isteri berusia 45 dan 48 tahun itu pergi ke sebuah bank untuk mengambil duit.

“Sebaik sahaja tiba di bank itu dan wanita tersebut turun dari sebelah kiri kereta, suspek terus menyerangnya dengan menggunakan sebilah golok.

“Suaminya cuba mempertahankan mangsa dan berlaku pengelutan. Akibat daripada pergelutan itu pasangan terbabit menerima rawatan lanjut di Hospital Kuala Krai, “ katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek datang ke arah mangsa dengan menunggang sebuah motosikal.

Katanya, pihak polis masih mengesan suspek yang dipercayai bekas suami mangsa warga Pakistan.

“Kes ini disiasat Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata,” katanya. - UTUSAN ONLINE