Majistret Nurasidah A. Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Hock Lai, 44, yang juga Orang Kena Saman (OKS) selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu sebagai pemandu kereta jenis BMW 320i menggunakan kenderaan terbabit di atas jalan raya dengan mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain.

Perbuatan itu dilakukan di stesen minyak di Lebuhraya LinKedua, Gelang Patah, dekat sini, pada pukul 7.35 pagi, 18 Mei lalu.

Bagi perbuatan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 108(3)(j) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mohd. Khairi Ismail manakala OKS tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda itu dan turut memerintahkan OKS dipenjara setahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut fakta kes, tular dalam media sosial kenderaan Singapura model BMW 320i warna emas yang mana pemandunya menukar nombor pendaftaran kepada nombor lain di sebuah stesen minyak.

Berpandukan maklumat, pihak JPJ membuat siasatan dan pada 2 Julai lalu, pemandu kenderaan bernama Tan Hock Lai hadir ke JPJ Johor dengan rela hati bagi tujuan siasatan.

Selepas disiasat, pemandu sebagai pemilik kereta mengaku salah atas perbuatan yang dilakukan pada 18 Mei lalu dan Notis JPJ(P)22 dikeluarkan kepada pemandu iaitu pemilik kenderaan atas perbuatan mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain. - UTUSAN ONLINE