Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, hasil siasatan mendapati kenderaan berkenaan dinaiki dua lelaki Melayu dan tujuan mereka ke daerah berkenaan adalah untuk memberikan wang saku kepada adik salah seorang daripadanya.

Katanya, lelaki berusia 24 tahun dari Kampung Bukit Kuang Tanggol, Hulu Terengganu itu dikatakan mahu bertemu adiknya di sebuah sekolah rendah di Setiu dan tidak mempunyai maklumat yang adiknya sudah memasuki institusi pendidikan vokasional di daerah Besut sejak dua bulan lalu.

"Dia yang ditemani rakan berusia 40 tahun yang memandu kenderaan pacuan empat roda tersebut tidak dapat berhubung dengan adiknya untuk mendapatkan lokasi sekolah sebenar.

"Kira-kira pukul 7.30 malam baharulah adiknya menghantar mesej memberitahu lokasi sekolahnya di Kampung Raja," katanya di sini hari ini.

Terdahulu Mohd. Zamri berkata, polis mendapat maklumat mengenai kenderaan dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan yang disyaki ingin menculik pelajar di sebuah sekolah.

Katanya, anggota kereta peronda (MPV) berjaya mengesan kenderaan pacuan empat roda itu di Kampung Mak Sara sebelum menahan kedua-dua lelaki tersebut.

Ujarnya, kedua-dua yang ditahan bekerja sebagai buruh kontrak membersih kolam sisa pembuangan minyak di ladang kelapa sawit sekitar negeri ini dan Kelantan.

"Siasatan mendapati mereka tidak terlibat dalam kes penculikan dan pemeriksaan dalam kenderaan tidak menemui apa-apa barangan yang menyalahi undang-undang," katanya. - UTUSAN ONLINE