Pengerusi Jaringan Kampung Tasik Asal Cunex Hulu Air Denkal, Pam Yeek berkata, sewaktu kejadian, sebanyak 11 orang terdiri daripada pihak berkuasa, wakil syarikat pembalakan dan Jabatan Perhutanan telah hadir ke kampung mereka.

Jelasnya lagi, beliau bersama-sama penduduk kampung telah bersepakat untuk tidak membuka halangan tersebut sehingga menyebabkan mereka marah dan menengking penduduk yang berada di kawasan tersebut.

“Insiden itu menyebabkan pihak berkuasa telah mengeluarkan senapang dan mengugut kami agar membuka halangan bagi kerja-kerja pembalakan. Tetapi, kami tetap dengan pendirian malah ada penduduk kampung yang lari terutamanya wanita ekoran takut dengan ugutan itu.

“Mereka pernah datang pada bulan Januari lalu, namun kali ini tindakannya lebih kasar. Wakil syarikat pembalakan itu juga memberi pilihan kepada kami sama ada mahu wang atau tanah. Itu saya faham sebagai satu tindakan untuk memberi rasuah kepada kami,” katanya.

Pam berkata demikian ketika ditemui pemberita di selepas melaporkan insiden itu di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.

Satu akhbar tempatan pada 25 Februari lalu melaporkan terdapat kira-kira 20 pekerja syarikat konsensi balak di Hutan Simpan Air Chepam (HSAC), Hulu Perak telah melakukan pembalakan dalam Tanah Adat Orang Asli dengan keluasan 80 hektar sejak 15 Januari lalu.

Kegiatan pembalakan itu bukan sahaja menjejaskan sumber pendapatan penduduk setempat malah air sungai menjadi keruh di dua kawasan tadahan iaitu Kampung Saruk dan Kampung Urat sekali gus menjejaskan punca bekalan air bersih kegunaan penduduk asal.

Sementara itu, menurut Pam, dia telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam, Selangor kelmarin.

Jelasnya, beliau juga mendakwa bahawa syarikat konsesi itu tidak mengemukakan lesen pembalakan proses pemberian izin berasaskan maklumat awal, bebas dan telus kepada masyarakat Orang Asli sebelum menjalankan kerja-kerja pembalakan di kawasan itu.

“Meskipun diugut, saya akan terus mempertahankan kampung yang menjadi tempat tinggal nenek moyang kami.

“Sekiranya mereka masih berkeras, kita akan memfailkan kes ini ke mahkamah dalam masa terdekat,” katanya

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Pema), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, pihaknya akan membantu Penduduk Orang Asli kaum Temiar di Kampung Tasik Asal Cunex sekiranya mereka memerlukan bantuan guaman untuk kes tersebut.

Jelasnya, tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa itu menunjukkan seoalah-olah mereka menyalahguna kuasa dengan bertindak membuli orang asli.

“Jabatan Perhutanan, pihak berkuasa dan syarikat konsesi balak perlu mengemukakan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dari Jabatan Alam Sekitar sebelum menjalankan kerja pembalakan.

“Kita akan membantu mereka dengan menggunakan dokumen-dokumen yang berasaskan kemusnahan alam yang berlaku di sana sekiranya kes ini dibawa ke mahkamah,” katanya. – UTUSAN ONLINE