Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata, bilangan anggota SAR telah ditambah kepada 119 orang terdiri daripada polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan (JPNS) serta dibantu penduduk tempatan.

Katanya, kawasan pencarian juga telah diperluaskan melibatkan hutan dan penempatan penduduk.

"Kami juga mendapatkan bantuan satu platun terdiri daripada 40 angota Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras," katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Pantai di sini hari ini.

Kehilangan remaja itu, Nora Anne Quoirin disedari abangnya kira-kira pukul 6.30 pagi sebelum memaklumkan perkara itu kepada pemilik resort.

Mereka kemudian berusaha mencari remaja tersebut di sekitar resort tetapi gagal menemukannya.

Keluarga dari Ireland itu yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan tiga anak telah tiba untuk bercuti di resort berkenaan kira-kira pukul 7 pagi kelmarin.

Che Zakaria berkata, pasukan SAR sudah melakukan pencarian di kawasan seluas 4.9 hektar di sekitar resort berkenaan dan hari ini operasi itu akan diperluaskan.

"Pasukan dari PGA, Perhutanan dan Orang Asli akan memberi tumpuan di kawasan hutan manakala sebahagian lagi meliputi kawasan penempatan penduduk dan sekitar Pantai," ujarnya.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau menjumpai remaja itu supaya menghubungi polis untuk tindakan segera. - UTUSAN ONLINE