Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, dua bot ronda digunakan dalam operasi tiga hari sejak 11 Julai itu, iaitu RH54 dan PSC66 dengan kekuatan seorang pegawai dan 16 anggota PPM, termasuk empat pegawai Jabatan Perikanan Sandakan.

“Objektif operasi ini adalah membuat pemantauan bagi mencegah aktiviti bom ikan di laut dan penjualan hasil dari aktiviti bom ikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohamad Pajeri, dalam operasi itu, pemantauan dilakukan di kawasan perairan Pulau Bakungan Kecil dan Pulau Selingan.

Beliau juga berkata pemeriksaan turut dijalankan di premis-premis penjualan di kawasan Pasar Batu 8 di sini bagi memastikan tiada penjualan hasil laut daripada aktiviti bom ikan.

“Pihak PPM akan terus menjalankan pemantauan bagi mencegah aktiviti bom ikan di kawasan perairan Sandakan dengan kerjasama yang erat dari Jabatan Perikanan,” katanya.

Pada 5 Julai lepas, dua pelancong China dan seorang jurulatih selaman maut akibat bom ikan ketika melakukan selaman skuba di perairan berhampiran Pulau Kalapuan, Semporna. - BERNAMA