Ketua Cawangan Khas Melaka, Asisten Komisioner Salim Youb berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga lingkungan 50-an hasil 68 pemeriksaan ujian air kencing yang dijalankan pihaknya.

"Daripada jumlah itu, salah seorang yang ditahan iaitu anggota Polis Marin dipercayai memiliki dadah jenis syabu.

"Kesemua mereka yang ditahan itu positif mengambil dadah malah ada yang berusia 50-an dan hampir bersara," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Melaka di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini hari ini.

Pada majlis itu, Salim yang sebelum ini memangku jawatan tersebut menyerahkan tugas itu kepada Datuk Shahrul Lailli Masduki dan disaksikan oleh Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia), Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Azmi Abu Kassim.

Polis Diraja Malaysia sebelum ini memaklumkan pelaksanaan `Op Blue Devil' di seluruh negara dalam usaha menahan pegawai atau anggota polis yang didapati terlibat dengan najis dadah sekali gus tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang terlibat.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador turut melahirkan kebimbangan mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah di negara ini sambil menjelaskan jumlah kes telah meningkat dua kali ganda dan turut melibatkan anggota polis yang mengambil dadah. - UTUSAN ONLINE