Itu modus operandi yang dikatakan digunakan oleh lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia lingkungan 30-an dalam menjalankan kegiatan haramnya sekaligus mengelakkan daripada dicekup pihak polis.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, lelaki yang cacat pada bahagian tangan kiri itu dikatakan cuba menipu mangsa di sebuah kedai emas yang terletak di Bandar Tasek Raja, Selasa lalu.

Menurutnya, suspek menggunakan taktik mengemukakan sekeping surat dalam bahasa Thai dan memaklumkan mahu memohon sumbangan.

“Selepas sumbangan itu diberikan, suspek kemudian meminta mangsa untuk aminkan doa yang dibacakannya.

“Suspek kemudian akan memaklumkan bahawa premis mangsa mempunyai unsur-unsur ‘luar’ di mana ada pihak dengki dengan perniagaan yang dijalankan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abdullah memberitahu, seterusnya suspek itu akan meminta wang syiling 50 sen untuk dibacakan doa dengan alasan tujuan perubatan.

Katanya, setelah itu suspek akan meminta wang sebanyak RM100 dari mangsa dan cuba untuk melarikan telefon mangsa.

“Bagaimanapun, suspek gagal berbuat demikian dalam kejadian itu,” ujarnya.

Abdullah berkata, jesteru pihaknya memohon kerjasama orang ramai untuk membantu mengesan lelaki berkenaan.

Katanya, jika ada maklumat berhubung lelaki berkenaan boleh salurkan terus kepada polis dengan menghubungi balai terdekat.-UTUSAN ONLINE