Beliau berkata, pelbagai desakan dikenakan terhadap dirinya oleh ahli politik bukan dari kerajaan terutama bagi mengetahui ketulenan video tersebut.

Menurutnya, siasatan video itu masih belum selesai kerana memerlukan beberapa langkah untuk diambil.

“Duit begitu banyak dikeluarkan, orang perlu tahu kenapa ambil masa lama, orang awam tidak faham. Pelbagai desakan dikenakan keatas saya dan orang nak tahu tulen atau tidak video itu.

“Dari mula saya tekankan isu video ini kes yang banyak membuang masa saya yang sepatutnya diperlukan sebagai Ketua Polis Negara untuk pastikan anak buah saya menumpukan kepada pembasmian jenayah, tiba-tiba timbul isu yang pada saya tidak sepatutnya,” katanya selepas Majlis Penutupan Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan Ke-21 di Kem Bina Semangat, Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Hamid turut menyeru kepada mereka yang ingin berpolitik agar tidak sehingga membebankan pihak lain.

“Jangan buat pakatan jahat, ia tidak sepatutnya dibuat oleh orang politik yang matang ini, sudah setahun lebih pilihan raya masih lagi dengan perkara begini.

“Kita nak siasat siapa yang bertanggungjawab dan tidak mahu tersilap dalam tindakan. Nasihat saya pada ahli politik, jangan bawa perkara ini sehingga ia akan menyusahkan orang,” katanya. - UTUSAN ONLINE