Pakar motivasi, Dr. Robiah Kulop Hamzah berkata, individu yang disyaki terlibat dengan mi­litan Daesh hanya berbekalkan cerita, gambar serta surat yang berjaya mengaburi mata sehingga ada segelintir ahli masyarakat yang diperdayakan oleh kumpulan ini.

“Rakyat Malaysia sangat murah hati dengan orang luar seolah-olah tiada jihad di negara ini sehinggakan mereka sendiri tidak tahu sama ada mereka menyokong pemerintah atau pemberontak sehingga akhirnya diperkotak-katikkan dengan janji kosong.

“Kita juga sering terdedah dengan maklumat yang mempamerkan keadaan yang sangat menyayat hati seperti kanak-kanak yang menjadi mangsa pengeboman sehingga kita terperangkap dalam emosi sendiri,” katanya ketika dihubung­i Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini tentang segelintir wanita di negara ini yang diperah harta jutaan ringgit sebelum di­tinggalkan akibat dijerat cinta mi­litan Daesh.

Malah, menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, lebih 20 wanita tem­­patan telah diperdayakan oleh anggota militan Daesh dengan dijanjikan cerita dan masa depan yang indah di Syria sebaik sahaja mendirikan rumah tangga di sana.

Dalam pada itu, Robiah berpesan kepada orang ramai agar mendapatkan maklumat yang tepat jika benar-benar ingin membantu umat Islam yang memerlukan.

“Dapatkan maklumat daripada pijhak kedutaan sebelum bersetuju ingin membantu orang lain di luar negara dan kalau benar ingin berjuang bukan kerana nafsu dan cinta tetapi kerana Allah SWT,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Datin Dr. Sapora Sipon berkata, salah satu cara untuk menghasut pemikiran dan memperdaya wanita adalah dengan permainan cinta.

“Ini kerana perasaan cinta boleh menghasilkan perkara-perkara yang menakjubkan serta boleh dimanipulasi demi kepen­tingan orang lain.

‘‘Dengan menyentuh perasaan indah ini (cinta), emosi boleh disalurkan untuk sesuatu yang tidak baik dan boleh merosakkan.

“Contohnya, bukan senang untuk menukar pemikiran individu yang ingin menyertai kumpulan jihad kerana orang yang sudah dilamun cinta tidak dapat berfikir de­ngan rasional dan di ketika inilah doktrin berkaitan jihad berjaya meresapi individu terlibat,” katanya.

Tambah Sapora, apabila cinta telah berjaya mengubah pemikiran untuk melakukan ‘jihad’, ketika itu segala apa yang dimiliki termasuk harta boleh dise­rahkan.