Difahamkan, mayat tersebut ditemukan oleh seorang wanita yang melihat objek menyerupai manusia dari tingkat 10 rumahnya di kondo berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, pemeriksaan dilakukan di lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 2.30 petang.

Katanya, mayat tersebut merupakan seorang wanita dianggarkan berusia lewat 80-an yang masih lengkap berpakaian.

"Pemeriksaan mendapati terdapat kesan darah, calar dan luka pada anggota badan mangsa. Siasatan awal bagaimanapun mendapati tiada unsur jenayah dalam kes ini.

"Kita juga tidak menjumpai dokumen pengenalan diri bersama mangsa atau berhampiran lokasi mayatnya dijumpai. Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat," katanya.

Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga diminta untuk menghubungi balai polis berhampiran atau datang ke Jabatan Forensik HRPB untuk pengecaman," katanya. - UTUSAN ONLINE