Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd. Azmir Damiri berkata, hasil bedah siasat terhadap lelaki berusia 20-an itu menemukan kesan pukulan di muka dan badan menggunakan objek tumpul.

Menurutnya, mayat mangsa juga mengalami kesan terbakar sebanyak 30 peratus yang lebih menjurus kepada perbuatan jenayah.

"Mangsa disahkan meninggal dunia dalam tempoh 48 jam hasil bedah siasat oleh Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu, semalam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rabu lalu, mayat seorang lelaki dengan kesan terbakar ditemui terapung dalam sungai di Kampung Puyu kira-kira pukul 3 petang.

Mohd. Azmir berkata, mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum dicampak ke dalam sungai.

"Setakat ini polis tidak menemui sebarang senjata atau objek yang digunakan suspek di lokasi mayat ditemui," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa sudah dituntut ahli keluarga semalam yang mengecam pakaian dipakai mangsa dan proses pengebumian telah dibuat di tanah perkuburan Islam Kampung Pelagat, Terengganu.

"Usaha mengesan suspek terbabit dalam kes itu diteruskan selain menyiasat sama ada mayat dibakar di lokasi kejadian atau di tempat lain.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian juga diminta menghubungi atau tampil memberi maklumat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh bagi membantu siasatan. - UTUSAN ONLINE