Mayat yang belum dikenal pasti identitinya itu dijumpai selepas pihak polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai bau busuk dari kawasan berkenaan pada pukul 5 petang.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pemeriksaan mendapati keadaan mayat yang masih berpakaian itu hampir reput dan dibalut dengan karpet berwarna merah.

Katanya, keadaan fizikal mayat tersebut pada bahagian kepala hanya tinggal tengkorak manakala bahagian bawah badan pula masih berisi namun telah berulat.

“Mayat berkenaan ditemui selepas orang awam terhidu bau busuk dan memaklumkan mengenai perkara itu ke balai polis melalui panggilan telefon.

“Mayat itu yang disyaki lelaki dianggarkan berumur dalam lingkungan 20 ke 30 tahun. Tiada sebarang pengenalan diri ditemui pada mayat atau kawasan sekitar,” katanya di sini hari ini.

Menurut Wan Azharuddin, lokasi mayat dijumpai adalah kawasan hutan kebun sawit yang tidak diusahakan.

Katanya, jarak antara mayat dengan jalan utama lebih kurang dua kilometer dan tiada sebarang penempatan atau rumah kongsi di kawasan sekitar.

“Jalan ke tempat mayat dijumpai juga hanya boleh dilalui dengan cara berjalan kaki kerana keadaan laluan yang berbukit.

“Mayat tersebut telah dihantar ke Hospital Tapah sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat yang akan dijalankan esok bagi mengetahui punca kematian,” katanya yang memberitahu siasatan setakat ini dibuka mengikut kes mati mengejut sehingga punca kematian mangsa diperoleh.-UTUSAN ONLINE