Mayat awak-awak warganegara Thailand yang sedang dikenal pasti identitinya itu ditemukan terapung kira-kira 6.5 kilometer dari barat Pulau Langkawi, pukul 2 petang semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd. Said berkata, mayat tersebut timbul di permukaan laut ketika pemilik bot sedang melakukan penundaan ke kawasan cetek.

“Mangsa dipercayai terperangkap di bahagian dalam bot semasa bot berkenaan karam akibat dilanda ribut pada 5 Mei lalu.

“Susulan itu, kerja-kerja mengapungkan bot akan diteruskan oleh pemiliknya bagi mengesan tiga lagi mangsa yang berkemungkinan turut terperangkap di dalam bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 31.5 kilometer dari barat Pulau Rebak, di sini, bot dinaiki empat awak-awak Thailand itu dilaporkan terbalik sebelum pasukan penyelamat melancarkan operasi mencari setelah dilaporkan pemiliknya.

Operasi berkenaan dihentikan Sabtu lalu selepas tidak menemukan sebarang petunjuk setelah empat hari operasi dilakukan di perairan sekitar bot itu karam.

Tambah Rozali, mayat itu kemudian dibawa ke jeti Maritim Malaysia Bukit Malut, di sini sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. - UTUSAN ONLINE