Penduduk kampung itu, Muhamed Haekal Mohamed Nasrudin, 23, yang juga saudara jauh keluarga berkenaan berkata, lelaki berusia 54 tahun tersebut sebelum ini merupakan seorang kontraktor ladang dan kini menoreh getah sebagai sumber pendapatan.

“Dia kurang bercampur dengan penduduk dan saya biasanya hanya berselisih dengannya di atas jalan raya atau sesekali di kedai makan. Dia juga jarang kelihatan di surau.

“Orang kampung kurang mengambil tahu tentangnya kerana sikapnya itu,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan hari ini.

Mangsa, Muhammad Hafiz Abdullah dilaporkan meninggal dunia disyaki menjadi mangsa dera bapa tirinya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Othman Nayan berkata, Muhammad Hafiz dibawa oleh ibu kandung dan bapa tirinya ke klinik Padang Rumbia kira-kira pukul 4 petang semalam dan disahkan meninggal dunia.

Katanya, pemeriksaan awal doktor mendapati terdapat kesan cedera disyaki akibat penderaan iaitu kesan lebam baharu di dada, kesan dicucuh api rokok di tapak kaki, bibir pecah, lebam sebelah mata kanan dan luka-luka kecil baharu di bahagian kening kanan.

Siasatan awal polis setakat ini mendapati ayah tiri mangsa mengaku ada memukul mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurut Muhamed Haekal, lelaki berkenaan pernah berkahwin dengan seorang wanita Orang Asli dan mempunyai empat anak hasil perkahwinan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, mereka bercerai kira-kira lima tahun lalu dipercayai disebabkan wanita berkenaan tidak tahan lagi dengan sikap panas baran suspek.

“Saya berkawan dengan anak-anak mereka sejak mereka kecil. Lelaki ini juga pernah meminta bantuan datuk saya untuk memulihkan keadaan rumahtangganya tetapi masalah sama tetap berlaku sebelum mereka bercerai.

“Selepas itu, lelaki ini berkahwin dengan ibu Muhammad Hafiz yang mana mereka kini mempunyai dua anak termasuk mangsa,” katanya. - UTUSAN ONLINE