Bagaimanapun, Pesuruhjaya Po­lis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor enggan mengulas lanjut punca masalah sebenar dihadapi oleh pasangan itu sehingga mendorong suspek yang bertugas sebagai Ketua Bahagian Pengurusan Balai Polis Belaga nekad bertindak menembak mangsa.

Selain itu beliau berkata, polis juga mengesahkan pasangan itu bukanlah suami isteri seperti didakwa memandangkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menunjukkan mereka pernah berkahwin.

“Semasa kejadian, mangsa di­katakan adalah teman wanita sus­pek, namun siasatan awal polis percaya mereka telah berkahwin tetapi tidak diisytiharkan.

“Setakat ini, saya sahkan dia (suspek) adalah seorang duda manakala mangsa merupakan teman wanitanya,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Ibu pejabat Polis Miri di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 3.15 pe­tang semalam, pegawai polis ter­babit bertindak menembak mati mangsa, Siti Nadirah Abdullah, 33, semasa sedang berehat di da­lam bilik rumahnya di Kampung Kakai.

Wanita yang didakwa isteri ke­pada suspek dan dipercayai me­ngandung kira-kira dua bulan ma­ti di tempat kejadian akibat terkena dua das tembakan di leher dan kepala.

Polis yang melancarkan operasi memburu suspek yang me­larikan diri sejurus selepas kejadian, berjaya memberkas pegawai berkenaan di Pasar Raya Emart, Matang Jaya, Kuching pada pukul 9.30 malam tadi, iaitu kira-kira enam jam selepas itu.

Difahamkan, suspek berasal dari Perlis sudah bercerai dengan isteri pertama dan mempunyai dua anak, manakala mangsa yang juga seorang janda turut mempunyai dua anak yang dijaga oleh bekas suaminya.

Suspek juga difahamkan positif dadah turut mempunyai masalah disiplin sehinggakan beberapa kali ditukar tempat bertugas termasuk di Balai Polis Song, Kapit dan Balai Polis Serian sebelum ditukarkan ke lokasi sekarang.

Mengulas lanjut Mazlan berkata, polis juga tidak dapat mengesahkan dakwaan sama ada benar mangsa sedang mengandung dua bulan kerana siasatan awal lebih menjurus kepada motif pembunuhan.

Ditanya adakah prosedur mem­benarkan suspek membawa senjata, beliau berkata, pegawai terbabit boleh membawa senjata kerana ketika kejadian, dia dianggap sedang bertugas ke­rana menghadiri taklimat di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuching.

“Bagaimanapun, pistol jenis Beretta Px4 Storm berserta dua kelopak berisi 29 butir peluru 9mm yang digunakan untuk me­nembak mangsa sudah dirampas,” katanya sambil membe­ritahu suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.