Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Othman berkata, semasa bot melakukan rondaan kira-kira pukul 5 petang, mereka mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran beserta dua awak-awak sedang memasang bubu naga.

"Menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka bertindak melarikan diri ke kawasan perairan yang cetek dan meninggalkan bubu naga tersebut bagi mengelakkan ditahan.

"Kesemua bubu naga tersebut dirampas kerana pengunaanya menyalahi peraturan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohammad berkata, penggunaan bubu naga secara haram boleh menjejaskan sumber perikanan kerana sifatnya yang tidak selektif selain memerangkap anak-anak ikan komersial sekali gus menjejaskan hasil pendapatan nelayan pantai.

Katanya, para nelayan diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

"Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020," katanya. - UTUSAN ONLINE