Kesemua mereka yang berusia 18 hingga 60 tahun itu ditahan ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di Perairan Maritim Negeri Pahang kira-kira pukul 5 petang.

Timbalan Pengarah Maritim Malaysia Negeri Pahang (Operasi), Kapten Maritim V. Pannir Selvan berkata, kapal Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan telah mengesan tiga buah bot nelayan asing dipercayai Vietnam sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan kira-kira 70 batu nautika Timur dari Kuantan.

V.Pannir berkata, bot nelayan asing tersebut menggunakan nombor pendaftaran KG 93692 TS, KG 93545 TS dan KG 91556 TS dipercayai dari Vietnam dengan membawa ikan campur dan hasil laut yang dianggarkan melebihi 2 tan.

“Keseluruhan barang rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai hampir RM3 Juta dan kesemua 31 nelayan Vietnam berumur lingkungan 18 hingga 60 tahun dan bot ditahan serta diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana memasuki dan menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di Jeti Maritim Malaysia Teluk Kalong di sini hari ini.

V. Pannir Selvan (tengah) bersama dua pegawainya menunjukkan ikan yang rampas dari kapal nelayan.
V. Pannir Selvan (tengah) bersama dua pegawainya menunjukkan ikan yang rampas dari kapal nelayan. 

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan ketiga-tiga tekong boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta setiap seorang, penjara tidak melebihi tiga tahun manakala awak-awak dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 setiap seorang, penjara tidak melebihi dua tahun.

Ujarnya, sehingga hari ini Maritim Malaysia Negeri Pahang telah melakukan 344 pemeriksaan dan 18 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan.

Dalam pada itu, orang ramai disaran dapat memberi kerjasama dan bersama-sama membantu menangani sebarang aduan kesalahan atau jenayah di perairan negara dengan menghubungi Talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345. - UTUSAN ONLINE