Dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 malam itu, turut ditahan ialah 26 anak kapal berusia antara 23 hingga 51 tahun yang merupakan warga China, Myanmar, Thailand, Bangladesh dan Filipina.

Menurut Pengarah Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan, Kepten Maritim Amran Daud, pihaknya sebelum itu mendapat maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 5.15 petang mengenai kegiatan dilakukan kapal tersebut.

"Sepasukan anggota peronda Maritim Malaysia kemudian membuat pemeriksaan pada kapal itu malam tersebut dan mendapati kapal jenis motor tanker (MT) Darin Star itu menjalankan aktiviti melepaskan sisa minyak jenis diesel di lautan.

"Berdasarkan siasatan awal, kapal berkenaan membawa muatan minyak dipercayai dari Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor menuju ke Pelabuhan Kuala Linggi dekat sini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan itu pihaknya menahan semua anak kapal berkenaan Seksyen 27 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 manakala kapal tersebut disiasat di bawah akta yang sama dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Amran memberitahu, ini merupakan kejayaan kali kedua pihaknya mengesan kegiatan pelepasan diesel di lautan di perairan kawasan itu sepanjang bulan ini.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan ini boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi 24 jam. - UTUSAN ONLINE