Pengarahnya, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, dalam operasi Iman kira-kira pukul 7.20 pagi itu pihaknya turut menahan seramai tujuh awak-awak termasuk tekong yang berusia antara 28 hingga 51 tahun.

“Bot nelayan itu didapati melanggar syarat lesen dan disyaki menggunakan nombor pendaftaran tempatan.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1 juta termasuk hasil tangkapan laut, minyak diesel, bot dan peralatan menangkap ikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Suffi berkata, bot itu kemudian dibawa ke jeti Maritim Malaysia Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki memalsukan dokumen bot dan juga melanggar syarat-syarat lesen.

Dalam perkembangan sama, katanya, sehingga April ini sebanyak 21 tangkapan telah dibuat dan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran.

Katanya, rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang justeru, kerjasama masyarakat terutama kalangan nelayan tempatan amat diharapkan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (pusat operasi Maritim Malaysia Terengganu). - UTUSAN ONLINE