Timbalan Komander PPM Wilayah Dua, Superintenden Noor Azman Jamal berkata, bertindak atas maklumat dan intipan selama 4 jam, pihaknya melakukan serbuan kira-kira pada pukul 2.30 pagi.

"Sebelum melakukan serbuan terdapat beberapa lelaki sedang memunggah rokok-rokok seludup berkenaan ke dalam lori 3 tan jenis Nissan UD di laluan keluar hutan berhampiran pantai tersebut.

"Bagaimanapun semasa serbuan dilakukan semua lelaki berkenaan berjaya melarikan diri dalam kawasan hutan selepas berjaya menghidu kedatangan pihak kami," katanya dalam sidang akhbar di Markas PPP 2 di sini sebentar tadi.

Katanya, hasil pemeriksaan pihaknya menemukan kotak-kotak berwarna coklat dalam bahagian belakang kenderaan itu.

"Pemeriksaan lanjut mendedahkan dalam kotak-kotak itu sejumlah 157,000 paket rokok kretek pelbagai jenis dipercayai rokok tidak sah," katanya.

Jelasnya, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM2.7 juta manakala kenderaan tersebut pula bernilai RM90,000 dengan nilai keseluruhan rampasan itu RM2.79 juta.

Pihaknya percaya semua rokok berkenaan adalah dari negara jiran dan Sindiket Tanjung Kelisa itu sudah tiga kali melakukan kegiatan tersebut sejak tahun lalu.

Taktik mereka kata Noor Azman, bagi mengelak pihak berkuasa mengesan aktiviti penyeludupan, suspek menggunakan kain kanvas dan peralatan mencuci lantai untuk menghilangkan kesan tayar lori yang keluar masuk ke kawasan penyeludupan.

Beliau memberitahu, jarak antara jalan utama hingga ke kawasan pantai tempat rokok seludup diturunkan kira-kira 3 kilometer yang dikelilingi hutan tebal.

Daripada jalan utama katanya, terdapat satu jalan tanah merah dan laluan itu mereka gunakan untuk menyeludup rokok-rokok berkenaan kerana laluannya sunyi dan terselindung.

"Apabila lori berkenaan melalui kawasan tanah merah itu akan meninggalkan jejak dan kesan tayar, mereka gunakan kanvas, mop dan penyapu untuk menghilangkan bekas-bekas tayar lori supaya kegiatan mereka gagal dikesan," katanya. - UTUSAN ONLINE