Timbalan Komander PPM Wilayah Dua, Superintenden Noor Azman Jamal berkata, bertindak atas maklumat, serbuan dilakukan kira-kira pukul 4 petang menahan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun.

Katanya, suspek terbabit ditahan ketika sedang memunggah kotak dipercayai berisi rokok seludup dari sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Harrier ke Perodua Alza di luar rumah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut menemui sejumlah 10,740 paket rokok pelbagai jenis yang tidak bercukai dan 840 liter cecair jenis alkokol dipercayai diproses sendiri untuk membuat arak tiruan dalam dua kenderaan di pekarangan serta dalam rumah.

"Nilai rampasan rokok dianggarkan berjumlah RM137,961 termasuk cukai manakala nilai alkohol dirampas berjumlah RM167,748," katanya dalam sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, di sini hari ini.

Noor Azman berkata, kesemua empat buah kenderaan termasuk Toyota Estima dan Toyota Hiace yang dianggarkan bernilai RM255,000 turut disita.

pihaknya masih menyiasat sudah berapa lama kegiatan itu dijalankan dan berapa ramai lagi yang terlibat dalam kegiatan menyeludup rokok serta menjual arak tiruan bagi pasaran tempatan.

"Arak tiruan yang sudah diproses itu diisi dalam botol dan dilabelkan dengan dua jenama yang ada di pasaran bagi mengelirukan pembeli. Malah penutup botol itu juga dilekatkan dengan pelekat Jabatan Kastam yang palsu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Kita menyeru kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat tentang kegiatan atau aktiviti menyalahi undang-undang di sekitar tempat tinggal dengan menghubungi PPM Wilayah Dua Johor di talian 07-2372222 atau 07-2376122," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut atau membawa barang yang dilarang. - UTUSAN ONLINE