Menurut Pengarah MAQIS Selangor, Dr. Tarmisal Alimin, rampasan pertama dilakukan pada 31 Julai lalu membabitkan sebanyak 35 kg. produk babi iaitu sosej babi dari China, di Balai Ketibaan Antarabangsa, KLIA 2.

"Produk babi berkenaan dibawa masuk oleh seorang warga tempatan dan telah ditahan sekitar pukul 6 pagi oleh pegawai penguatkuasa MAQIS yang bertugas. Berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan, produk babi itu diletakkan dalam tiga beg berasingan," jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, terdahulu, sebanyak 20 kilogram produk sama yang dimuatkan dalam sebuah bagasi, telah dirampas oleh pegawai penguatkuasa di Balai ketibaan Antarabangsa KLIA kira-kira pukul 6 petang , 28 Julai lalu.

"Konsainan itu telah dirampas oleh pihak MAQIS dan akan dilupuskan mengikut prosuder yang telah ditetapkan. Ia bertujuan mencegah penularan virus Africa Swine Fever (ASF) yang akan memberi impak negatif sekiranya virus tersebut memasuki dalam negara," jelasnya.

Jelas Tarmisal, kerajaan telah mengeluarkan arahan larangan membawa masuk dan pengimportan daging babi dan produk babi dari negara yang mengalami wabak ASF secara hand carry yang dibawa oleh penumpang di laluan udara, darat serta laut.

Antara produk yang berisiko dalam penularan virus ASF adalah babi hidup, daging babi segar, babi sejuk beku, produk babi dalam tin dan daging diproses seperti sosej dan sebagainya.

"Mana-mana penumpang yang melanggar peraturan itu akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia[Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta yang sama. Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya," tambah beliau.

Tarmisal berkata, pihak MAQIS sentiasa memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan mematuhi aspek kesihatan manusia serta mengawal kemasukan penyakit yang boleh mengancam industri penternakan dan makanan di Malaysia. - UTUSAN ONLINE