Menurut Pengarah MAQIS Negeri Selangor, Dr. Tarmisal Alimin, kejayaan itu hasil kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada pagi kelmarin.

Beliau berkata, sarang burung berkenaan tidak mempunyai dokumen yang sah seperti permit eksport dan sijil kesihatan ketika cuba dibawa keluar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada pukul 7.30 pagi.

“Rampasan itu dibuat hasil daripada pemeriksaan ke atas bagasi seorang warga tempatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sarang burung walet mentah sebanyak 43 kotak seberat 20 kilogram dianggarkan bernilai RM60,000, “ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Tarmisal, pihaknya telah mengeluarkan kompaun setelah mendapat kebenaran Timbalan Pendakwa Raya serta peringatan kepada individu tersebut atas kesalahan mengeksport tanpa suatu dokumen yang sah.

Nilai minimum kompuan yang boleh dikenakan adalah 10 peratus daripada nilai dagangan dan tidak melebihi RM50, 000.

“Jika individu tersebut mengulangi kesalahan yang sama, boleh didakwa di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728] yang digunapakai oleh MAQIS.

“ Perbuatan mengeksport produk hasilan haiwan tanpa permit yang sah adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(2), Akta Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta yang sama.


Sarang burung walet mentah yang berjaya dirampas oleh MAQIS ketika cuba diseludup ke Hong Kong di KLIA2, Sepang kelmarin. - UTUSAN ONLINE /Ihsan MAQIS

“ Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tarmisal berkata, MAQIS sentiasa bersedia dalam melakukan tugasan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi haiwan, pertanian, ikan yang keluar masuk Malaysia mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan oleh kerajaan.

Jelasnya, ia bagi memastikan keselamatan makanan terjamin dan selamat dimakan oleh rakyat Malaysia. - UTUSAN ONLINE