Dalam serbuan kira-kira pukul 1 pagi itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang dipercayai memproses dadah tersebut bersendirian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM15,000.

Antara dadah yang dirampas, tambahnya, sebanyak 50 gram (g) syabu; 5g ganja; 49g serbuk disyaki dadah; 45 biji pil Ekastasi; 51 biji pil Yaba dan tiga biji pil Eramin 5.

“Selain itu, kita turut merampas beberapa peralatan disyaki bagi menghasilkan pil berkenaan termasuk peralatan yang dibuat sendiri oleh suspek.

“Siasatan awal juga mendapati suspek mempelajari cara memproses dadah itu menerusi internet,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, suspek yang juga positif dadah jenis morfin direman selama tujuh hari sehingga Sabtu ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Janayah bagi siasatan lanjut.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1); Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN ONLINE