Pembongkaran kegiatan itu susulan penahanan seorang suspek warga tempatan berusia 60 tahun di tepi jalan di kawasan tersebut.

Penahanan suspek itu kemudiannya membawa kepada tangkapan seorang lagi suspek warga Myanmar berusia 40 tahun di rumah kedai berkenaan.

Ketua Polis negeri, Datuk T. Narenasagaran berkata, dalam operasi bermula pukul 1.20 petang hingga pukul 7.45 malam itu, polis berjaya merampas bahan disyaki dadah serta peralatan untuk menghasilkan bahan terlarang itu yang keseluruhannya bernilai RM167,100 di rumah kedai berkenaan.

“Antara hasil rampasan adalah 383 gram dadah disyaki heroin base, 6.1 kilogram dadah disyaki heroin, 2.5 kilogram serbuk disyaki kafein, dua botol kaca mengandungi cecair disyaki klorofom dan 112 bungkusan berisi serbuk dan bahan disyaki mitragynine yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan dadah.

“Dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh 15,450 penagih dan dipercayai untuk diedarkan bagi pasaran tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Menurut Narenasagaran, dalam serbuan berkenaan polis turut merampas 1,760 kotak kecil teh herba disyaki mengandungi herba tiruan bernilai RM753,000.

“Kita masih menyiasat kandungan uncang teh herba berkenaan sama ada mengandungi dadah atau tidak dan bahan tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian lanjut.

“Teh herba ini dihasilkan di rumah kedai tersebut dan hanya dijual menerusi Internet dengan harga RM428 sekotak,” katanya.

Tambahnya, buat masa ini suspek yang ditahan reman sehingga 4 April ini memaklumkan teh tersebut mengandungi herba jenis ginseng dan dijual untuk tujuan kesihatan.

Dalam pada itu, katanya, polis turut menyita tiga buah kenderaan iaitu kereta jenis Hyundai Tucson, Mercedes Benz dan Suzuki Swift yang keseluruhannya bernilai RM167,500.

“Selain itu, akaun bank suspek bernilai RM442,227 serta wang tunai RM34,400 turut disita,” katanya. - UTUSAN ONLINE