Kebanyakan maklumat diterima, menyatakan pergerakan kumpulan penjenayah berkenaan lebih berada di bahagian perairan Filipina.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, pihaknya memandang serius setiap maklumat diterima, dengan terus memperkukuhkan kawalan di sekitar perairan negara khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), bagi menjamin keselamatan kawasan itu.

“Hampir setiap minggu kita menerima maklumat sama mengenai pergerakan kumpulan penculik dan penjenayah rentas sempadan tetapi pergerakan itu lebih di sebelah perairan Filipina.

“Kita memang membuat kawalan di sekitar itu. Setakat ini, kawasan itu memang selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas surat pemberitahuan dikeluarkan Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu mengenai pergerakan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina.

Surat pemberitahuan yang tular sejak Isnin lalu itu menyatakan tiga kelompok Abu Sayyaf dilaporkan melakukan pergerakan ke perairan timur Sabah pada 30 Ogos lalu bertujuan melakukan penculikan dengan menyasarkan beberapa buah kapal di beberapa tempat atau wilayah iaitu Bakongan, Bahala, Sandakan, Mamiang, Tambisan dan Taganak.

Mengulas lanjut, Omar berkata, polis belum berhubung dengan KJRI di Kota Kinabalu mengenai perkara itu, namun, menjelaskan pasukan keselamatan Sabah turut ada menerima maklumat sama seperti diterima pihak tersebut.

Jelasnya, pasukan keselamatan akan terus memperkukuhkan kawalan ESSZone bagi memastikan keselamatan perairan itu sentiasa terpelihara, daripada sebarang ancaman kumpulan pengganas dan penjenayah rentas sempadan.

“Polis di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, dan semua elemen keselamatan akan sentiasa aktif melakukan rondaan. Jadi, kita jangan risau, setakat ini, kawasan memang selamat,” jelasnya.

Sementara itu, Selasa lalu, Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu Krishna Djelani ketika ditemui Bernama mendedahkan mengenai surat pemberitahuan itu bertujuan memberi peringatan kepada kira-kira 300,000 warga Indonesia berdaftar di negeri ini supaya berwaspada dan berhati-hati ketika berada di laut.

Peringatan itu penting bagi memastikan warga Indonesia, khususnya yang bekerja di sektor perikanan sebagai nelayan dan kru kapal mengambil langkah keselamatan sekali gus tidak menjadi mangsa penculikan.

Lebih 20 kes penculikan melibatkan warga Indonesia dengan mengorbankan hampir 40 orang dilaporkan sejak tahun 2000 hingga tahun lalu.- BERNAMA