Tiga suspek itu ditahan antara pukul 7 petang dan 10 malam hari yang sama kerana disyaki memperdaya seorang lelaki warga Bangladesh.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Osman Mamat ber­kata, mangsa berada berhampiran Pasar Simpang, Taiping apabila didatangi dua lelaki tempatan yang memperkenalkan diri sebagai polis dan me­minta pasport.

Menurutnya, setelah mangsa memberitahu pasportnya ber­ada dalam simpanan majikan, dia dibawa ke Ipoh dan seorang daripada suspek telah mengambil wang RM67 yang berada dalam poket seluar mangsa sewaktu dalam perjalanan.

“Pada pukul 10.20 pagi, mangsa dihubungi oleh majikannya tetapi panggilan itu dijawab oleh seorang daripada suspek yang mengaku polis dari Ipoh. Lelaki itu telah meminta wang daripada majikan mangsa sebanyak RM3,000 atau akan menangkap mangsa.

“Selepas rundingan dipersetujui, pada pukul 11.15 pagi, majikan mangsa telah memasukkan wang seba­nyak RM1,000 ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek dan salinan gambar resit telah dihantar kepada telefon mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Osman memberitahu, pada pukul 2 petang, majikan mangsa telah diminta oleh suspek untuk mengambil mangsa di Stesen KTM Taiping sebelum dia tampil membuat laporan polis.

Ujarnya, soal siasat lanjut ke atas dua tangkapan awal telah membawa kepada penangkapan majikan warga Bangladesh itu yang menyalurkan maklumat kepada kedua-dua suspek berkenaan.