Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, pada 24 April tahun lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang mendakwa dirinya seorang anggota polis dari Bukit Aman.

Katanya, pegawai polis itu memaklumkan mangsa terlibat dengan geng perjudian haram.

“Pada 25 April lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang dikenali sebagai Tuan Razak yang mendakwa dirinya seorang pegawai dari Bank Negara.

“Tuan Razak mengarahkan mangsa mengeluarkan semua wang dalam akaunnya untuk dimasukkan ke dalam akaun sementara Bank Negara. Tuan Razak memberikan empat akaun bank yang berbeza untuk mangsa masukkan wang tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, mangsa membuat 24 transaksi ke akaun bank diberikan Tuan Razak yang keseluruhannya berjumlah RM123,500.

“Selepas melakukan transaksi, mangsa menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp kepada Tuan Razak tetapi tidak mendapat maklum balas dan menyedari ditipu.

“Mangsa membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan,” katanya. - UTUSAN ONLINE