Kejadian berlaku ketika mangsa berusia lewat 40-an berada di rumahnya kira-kira pukul 11 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Ahmad Azizul Mohamed berkata, suspek pada mulanya memberitahu mangsa gagal hadir perbicaraan di mahkamah kerana mempunyai tunggakan kad kredit sebanyak RM10,000.

Menurutnya, dalam perbualan menerusi telefon bimbit itu mangsa menafikannya dan pada masa sama talian itu disambungkan kepada seorang lelaki lain bernama ‘Inspektor Marzuki’.

“Dalam perbualan itu mangsa turut diberitahu terbabit dalam pengubahan wang haram dan perlu diselesaikan.

“Mangsa yang panik terus mengikut arahan suspek dengan pergi ke sebuah bank termasuk menukar nombor pin perbankan internet bagi membolehkan suspek membuat pengeluaran wang daripada akaun mangsa.

“Selepas itu mangsa yang merasa curiga kemudian menyemak wang simpanan dalam akaunnya dan mendapati sejumlah RM20,450 lesap,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan pada hari kejadian itu di Balai Polis Wakaf Bharu, pukul 4.30 petang.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ahmad Azizul berkata, orang ramai perlu peka dan tidak mudah terpengaruh dengan panggilan palsu yang boleh menyebabkan kerugian besar. - UTUSAN ONLINE