Terbaharu seorang doktor wanita kerugian kira-kira RM270,000 di Sungai Buloh selepas ditipu selepas sindiket Macau Scam yang menakutkan mangsa dengan menyamar menggunakan nama agensi penguatkuasaan dan sebuah jabatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd. Majid berkata, berdasarkan laporan polis yang diterima membabitkan mangsa, pihaknya telah melakukan serbuan di sebuah premis di Cheras, dekat sini, pada 17 Julai lalu.

Menurut beliau, hasil serbuan itu, pihaknya menahan empat individu berusia di antara 24 hingga 32 tahun termasuk seorang lelaki warga Taiwan yang juga dalang utama.

Fazlisyam berkata, sindiket itu merekrut ahli untuk membeli akaun bank dari mana-mana individu dan membayar sejumlah wang sebagai upah kepada pemilik akaun tersebut.

“Tiga suspek warga tempatan ini akan mencari mana-mana individu untuk membuka akaun baharu dan memaklumkan kepada lelaki Taiwan yang merupakan dalang dalam Macau Scam ini.

“Berdasarkan siasatan, lelaki Taiwan ini akan datang ke negara ini apabila dimaklumkan terdapat akaun baharu. Untuk rekod, pada tahun ini sahaja suspek telah datang ke Malaysia sebanyak tujuh kali,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Tambahnya, pihaknya mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan peka apabila menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang mendakwa daripada mana-mana pihak berkuasa.

“Bagi tahun ini sahaja, kita menerima 187 kes melibatkan kerugian RM15 juta dari tempoh 1 Januari hingga 30 Jun.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik atau takut apabila menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang mengarahkan membuat pemindahan wang atau memberi butiran nombor akaun peribadi.

“Mana-mana individu yang menerima panggilan sebegitu seharusnya merujuk kepada pihak polis atau institusi kewangan bagi mendapatkan kesahihan berkenaan dakwaan yang dibuat pemanggil berkenaan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE