Pengarah Maritim negeri, Wan Mat Wan Abdullah berkata, nelayan terlibat yang menaiki bot tradisional berusia antara 25 hingga 30 tahun ditahan pada pukul 1.30 petang.

“Bot nelayan Indonesia tersebut dikesan oleh kapal Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan dan penguatkuasaan di kawasan tersebut.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Pusat Tahanan Vesel dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Wan Mat, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan melakukan penangkapan ikan secara haram di dalam Perairan Malaysia.

Katanya, ini merupakan kali ketiga bot nelayan tradisional memasuki perairan Malaysia minggu ini.

“Walaupun sering ditegaskan melalui media massa bahawa Maritim Malaysia akan menahan mana-mana vesel penangkapan ikan asing yang menceroboh dan menjalankan aktiviti penangkapan dalam perairan Malaysia namun masih terdapat nelayan Indonesia yang tidak mengendahkannya,” katanya. - UTUSAN ONLINE