Inspektor Mohamad Shahrul Izuairi Ibrahim, 38, Nik Abdul Azim Nik Borahanuddin, 24, Wan Zakaria Zaidi, 29, Mohamad Zulhairi Kamaruddin, 19 dan Kamarubaisham Abdullah, 39, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka selesai dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyamun seorang wanita, As Afirah Chai Abu Bakar Abdullah, 21, dan merompak wang tunai srbanyak RM700, enam jenis telefon bimbit pelbagai jenama, dua utas jam serta sebuah komputer riba milik wanita itu di sebuah rumah di Pangsapuri Sri Cempaka, Jalan Persiaran Indera, Puchong, di sini, pada pukul 3.30 pagi, 3 Mac lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohamad Shahrul Izuari dan Mohamad Zulhairi turun mengaku tidak bersalah pertuduhan memiliki harta curi iaitu komputer riba dan seutas jam tangan bersabit kejadian dan mangsa sama.

Pertuduhan memiliki harta curi pula mengikut Seksyen 412 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Perumahan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kelompok Teratai, Taman Keramat, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, dan di Restoran Shah Maju, Jalan Bunga Tanjung, Taman Putra, Ampang, Selangor, antara pukul 4.30 petang dan 7 malam, 5 Mac lalu. - UTUSAN ONLINE