Menurut kenyataan MAQIS, hasil pemeriksaan mendapati lelaki berusia 45 tahun itu membawa karkas yang dipercayai daging babi seberat 17 kilogram (kg).

“Lelaki warganegara Thailand ini telah membawa masuk produk daging babi walaupun larangan membawa masuk telah dikeluarkan oleh kerajaan kerana isu penyebaran penyakit African Swine Fever (ASF) dari beberapa negara seperti China, Vietnam, Laos, Belgium dan Thailand.

“Tujuan larangan pengimportan serta membawa masuk daging berkenaan di laluan udara adalah bagi menghalang risiko kemasukan virus ASF ke negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, selain daripada larangan pengimportan, kemasukan daging babi dan produk yang berasaskan babi yang dibawa oleh penumpang di laluan udara juga adalah dilarang.

 

“Perbuatan mengimport tanpa permit yang sah dari MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum kesalahan dibawah Seksyen 11 (3) Akta yang sama.

“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya,” katanya. - UTUSAN ONLINE