Mayat elaki warga Bangladesh ditemukan dengan kesan tikaman di sebuah rumah banglo satu tingkat di Jalan 1/19, Petaling Jaya, Semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 malam itu, mangsa ditemukan oleh orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah akibat ditikam beberapa kali di belakang badannya.

Difahamkan, sebelum dibunuh, telah berlaku pertengkaran di antara mangsa dengan suspek yang merupakan rakan serumahnya itu.

Pertengkaran tersebut berpunca apabila mangsa yang membela 12 ekor kucing sedang memberi makan serta minum pada haiwan peliharaannya sebelum suspek mendakwa terkena air minuman kucing yang disiram lelaki tersebut.

Akibat daripada itu menyebabkan mangsa telah ditikam sebelum suspek melarikan diri bersama ibunya yang turut tinggal di situ.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat yang dijangka dilakukan pada pukul 10 pagi ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan tompokan darah di hadapan bilik dipercayai akibat pergaduhan antara mangsa dengan suspek.

Jelasnya, pasukan forensik yang menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian turut merampas puntung rokok, sarung pisau, baju dan seluar selain menemui tiga cap jari dipercayai milik suspek.

“Pemeriksaan di dalam bilik suspek juga berjaya memperoleh butiran lelaki dikenali sebagai Hardianto. Bagaimanapun, semakan lanjut bagi mendapatkan nombor pasport suspek akan dibuat hari ini daripada pihak Kedutaan Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Zani memberitahu, rumah banglo satu tingkat itu mempunyai empat bilik tidur yang didiami oleh penyewa warga asing.

Ujarnya, hasil temu bual dengan jiran mendapati rumah itu dimiliki seorang wanita yang sudah meninggal dunia dan tidak mengetahui siapa pewarisnya.

“Penghuni yang menyewa bilik di rumah berkenaan membayar sewa kepada emak suspek dikenali sebagai Asniyah yang melarikan diri bersama anak lelakinya itu.

“Sehubungan itu, usaha memburu suspek dan ibunya yang melarikan diri sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.-UTUSAN ONLINE