Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan berkata, kertas siasatan kes itu sudah hampir siap dan akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan seterusnya.

Beliau memberitahu, suspek yang ditahan reman selama enam hari sehingga semalam disambung reman sehingga 22 Julai ini.

“Kertas siasatan kes itu sebenarnya sudah boleh dianggap siap cuma ada beberapa kajian lagi perlu dilakukan dalam beberapa sudut.

“Pihak polis mahu mendapatkan satu siasatan dan keputusan yang tepat dalam kes tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori itu ditahan pada 9 Julai lalu selepas ibu mangsa membuat laporan polis susulan rakaman video perbuatan tidak senonoh suspek terhadap anaknya tersebar dalam media sosial.

Rakaman video itu menunjukkan seorang lelaki dipercayai warga emas itu melakukan kelucahan melampau terhadap kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di dalam sebuah kereta di sini.

Suspek yang telah berkahwin merakam sendiri aksi tersebut dan dipercayai telah melakukan perbuatan tersebut sebanyak tiga kali terhadap mangsa. - UTUSAN ONLINE