Dalam tangkapan kira-kira pukul 3.15 petang, lelaki berusia 48 tahun itu ditahan di tepi jalan dekat Kampung Sungai Rubana di sini ketika sedang memandu sebuah kereta dari arah Perak menuju ke Selangor.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, suspek yang tidak bekerja itu disyaki mula memproses ketum sejak awal tahun ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemukan 20 bungkus plastik hitam disyaki berisi daun ketum seberat 100 kilogram diletakkan di bahagian tempat duduk penumpang belakang.

Beliau berkata, sebanyak 25 bungkus lagi dengan anggaran berat 125 kilogram pula disimpan dalam bonet kenderaan tersebut.

"Hasil semakan mendapati suspek memiliki satu rekod jenayah lampau, namun ujian saringan air kencing terhadapnya adalah negatif.

"Jumlah rampasan keseluruhan daun ketum bersama kereta tersebut adalah bernilai RM12,250," katanya di sini hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. - UTUSAN ONLINE