Lelaki berkenaan ditahan dalam serbuan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, ibu pejabat polis kontinjen negeri kira-kira pukul 9.10 malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, dalam serbuan itu polis turut merampas bahan dipercayai serbuk ekstasi seberat 157.4 gram serta ketamin seberat 14.8 gram.

Tambah beliau, hasil rampasan itu dipercayai untuk dijual di pasaran sekitar daerah ini selain untuk kegunaan sendiri.

“Suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, pihaknya akan sentiasa mengambil tindakan serta menjalankan operasi narkotik berterusan secara agresif ke atas pengedar-pengedar dadah di daerah ini.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama daripada masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah kepada polis. - UTUSAN ONLINE