Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10 pagi di kebun durian berhampiran Tanah Perkuburan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok Baru A, di sini.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, sebelum kejadian itu mangsa lelaki berusia 40 tahun pergi mengambil buah durian di kebun milik bapanya.

Beliau berkata, sebaik sahaja membawa durian keluar dari kebun itu untuk pulang ke rumahnya tidak jauh dari situ, mangsa bertemu dengan seorang lelaki dikenalinya yang menuduh dia mencuri durian.

“Mangsa tidak puas hati dengan tuduhan itu, kembali semula ke kebunnya untuk menemui lelaki terbabit mangsa selepas meninggalkan buah durian di rumahnya.

“Sebaik tiba di kebun durian itu untuk berjumpa semula dengan lelaki berkenaan telah berlaku pertengkaran mulut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Taufik berkata, selepas bertengkar mangsa dikejutkan dengan tindakan lelaki terbabit yang mengambil golok dalam raga motosikal.

Katanya, lelaki itu mengugut untuk mencederakan mangsa sambil golok itu diacu beberapa kali ke atas pelana motosikalnya dan terus berlaku pergaduhan.

“Ketika pergaduhan itulah golok yang dipegang di tangan lelaki terbabit terkena betis kanan mangsa.

“Selepas menyedari mangsa cedera terkena golok, lelaki terbabit melarikan diri dan mangsa menerima tujuh jahitan ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya. - UTUSAN ONLINE