Suspek bersama seorang rakan yang menunggu di luar premis menaiki motosikal hanya mengambil masa dua minit melakukan jenayah itu dalam kejadian pukul 3.47 pagi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Arshad Abu berkata, suspek yang memakai topeng dan topi keledar meluru masuk ke dalam premis sebelum mengacukan sebilah parang pendek ke arah seorang pekerja wanita di stesen minyak berkenaan.

“Suspek kemudian merampas telefon bimbit mangsa yang berusia 23 tahun dan sebuah peti menyimpan wang yang mengandungi tunai RM3,500 sebelum keluar dari kaunter minyak tersebut lalu menuju ke kaunter bayaran 7-Eleven yang berkongsi premis perniagaan.

“Suspek kemudian mengambil sejumlah rokok dalam rak pameran rokok sebelum keluar melalui jalan yang sama dan melarikan diri menaiki motosikal ditunggangi rakannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Arshad berkata, siasatan terhadap kamera litar tertutup di premis itu menunjukkan kejadian berlaku antara pukul 3.47 hingga 3.49 pagi.

Katanya, dua lagi pekerja wanita 7-Eleven berusia 19 tahun sempat melarikan diri masuk ke dalam stor dan hanya mampu memerhatikan kejadian itu dari cermin kaca.

“Ketiga-tiga pekerja wanita di dalam premis tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Arshad berkata, pihaknya kini sedang memburu kedua-dua suspek dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE