Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Paddy Abd. Halim berkata, rampasan itu merupakan yang terbesar di negeri ini pada tahun ini dengan kesemua rokok berkenaan dipercayai untuk pasaran ibu negara.

Katanya, dalam serbuan kira-kira pukul 3 pagi itu pihaknya turut menahan seorang pemandu lori berusia 31 tahun yang membawa muatan rokok berkenaan selepas berlaku kejar-mengejar selama hampir satu jam.

"Lori membawa muatan rokok seludup itu seterusnya dilihat memasuki persimpangan masuk Plaza Tol Kerteh sebelum cuba merempuh salah satu kaunter plaza tol berkenaan.

"Bagaimanapun, tindakan pantas sepasukan penguatkuasa JKDM dengan kerjasama polis berjaya memberkas suspek yang cuba melarikan diri," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JKDM cawangan Kemaman di Kuala Kemaman dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Kastam Terengganu, Datuk Radzi Muhamad dan Ketua Stesen Kastam Kemaman, Mohd. Fadil Muhamad Yunus.

Paddy berkata, siasatan awal mendapati rokok seludup yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran itu dalam perjalanan untuk dihantar bagi pasaran Lembah Klang.

Katanya, suspek kini direman selama 15 hari sehingga 13 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda antara 10 hingga 20 kali nilai barangan atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, JKDM berjaya merampas 306 juta batang rokok seludup dengan anggaran nilai RM25.4 juta serta melibatkan cukai RM227 juta sejak awal tahun ini. - UTUSAN ONLINE