Muhyiddin berkata, menerusi laporan polis itu, pihak polis boleh menjalankan penyiasatan sama ada dakwaan itu berasas atau sebaliknya.

“Saya tidak pasti kalau dia (Wan Ji) sudah membuat laporan polis atau tidak. Saya ada baca dan menonton video yang dia kata tidak mahu lapor, mengatakan kesian kepada orang itu, wallahmualam.

“Tapi kalau dia fikir ada kes tertentu yang dia hadapi dan dia mahu pembelaaan, maka elok membuat laporan polis. Kalau sudah ada laporan, maka polis akan siasatlah sama ada kenyataan itu berasas atau tidak, menyalahi undang-undang atau tidak. Kalau ya, ada tindakan-tindakan boleh diambil oleh pihak polis,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Wan Ji sebelum ini mendakwa dipukul oleh seorang warden penjara ketika ditahan di Penjara Kajang.

Ditanya berhubung berlakunya manipulasi dan penipuan di dalam Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) sepertimana dilaporkan oleh Ketua Audit Negara, Muhyiddin berkata, pihak Jabatan Imigresen telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Selain itu, katanya tander terbuka untuk membangunkan sistem baharu yang lebih komprehensif bagi menggantikan MyIMMs juga telah dibuka untuk petander yang berminat.

Berhubung kes kematian seorang tahanan lelaki warga Nigeria sebelum ini, beliau berkata, semua pihak perlu menunggu laporan lengkap berkaitan kejadian itu terlebih dahulu. - UTUSAN ONLINE